This article was published in
CEKU on January 30 2011.
Majinmohsen: “
Money is earned in Rotterdam, divided in The Hague and spent in Amsterdam“
[1]Sebuah ungkapan Twitter aku. Hanya ada dua tujuan aku bermula dengan ungkapan di atas. Sebab utamanya adalah sebagai intro supaya aku boleh menceritakan sedikit sebanyak tentang pengalaman aku bercuti di Eropah pada hujung bulan Disember yang lalu. Yang kedua, untuk mengajak para pembaca CEKU untuk menggunakan Twitter.
Sebenarnya, sebab pertama tidaklah sepenting mana.
Aku bercuti di Eropah selama 9 hari; dengan menaiki Eurostar, aku memulakan perjalanan di Amsterdam (paling, sangat dan sentiasa menyeronokkan), seterusnya ke Rotterdam, kemudian ke Antwerp, Brugge, dan akhirnya Brussels. Kelima-lima tempat ini membuka mata aku kepada cara kehidupan orang Eropah di Barat Laut, khususnya di Belanda (Hollandsebenarnya hanya menggambarkan sebahagian sahaja daripada negara ini) dan Belgium, yang dahulunya merupakan hanya satu negara sebelum perpecahan berlaku akibat Belgian Revolution. Tidak hairanlah bahawa kesemua tempat ini (kecuali Brussels) menggunakan het Nederlands atau bahasa Belanda sebagai medium utama percakapan harian.
Bukan sahaja kontor muka jelita dan cara percakapan yang sangat serupa, persamaan dari segi cara hidup juga dapat aku perhatikan; daripada kebanggaan mereka terhadap keju hinggalah sikap bersahaja tentang masa (sememangnya antonim kepada orang British) yang diamalkan orang tempatan di kesemua tempat ini.
Persamaan ini membuka minda aku kepada perspektif baru. Jika sebelum ini aku hanya menganggap Belanda dan Belgium sebagai dua buah negara di Eropah, kini aku sedar bahawa mereka berjiran, dan terdapat persamaan cara hidup yang dikongsi oleh mereka. Jika dulu aku hanya beranggapan bahawa mereka negara berjiran ibarat Malaysia dan Thailand, kini baru aku ketahui bahawa mereka bukan hanya berjiran, malahan pernah pada suatu ketika dahulu duduk di bawah United Kingdom of the Netherlands. Mereka berkongsi bahasa, adat Flemish, cara hidup, dan makanan ruji. Malahan, bersama negara Luxemborg, ketiga-tiga negara ini dipanggil The Low Countries. Penduduk di negara-negara ini hidup di bawah dua entiti berbeza, hanya kerana dipisah oleh sempadan negara.
Ironinya, walaupun kedua-dua negara ini berpisah akibat keinginan orang Belgium untuk hidup di bawah kerajaan sendiri, namun adalah di negara Belgium-lah yang penggabungan negara-negara Eropah, walaupun bukan sebagai entiti tunggal, menjurus kepada penubuhan Kesatuan Eropah. Bukan itu sahaja, Brussels merupakan ibu pusat Kesatuan Eropah, di mana parlimen bagi Kesatuan Eropah bersidang. Ditubuhkan pada tahun yang sama ibu pertiwi kita mencapai kemerdekaan, Kesatuan Eropah telah banyak membantu pembangunan di rantau Eropah.
Oh ya, Kesatuan Eropah itu lebih kurang ASEAN lah!
Muda-mudi Malaysia secara am tahu sedikit-sebanyak tentang keadaan politik, serta sejarah Malaysia, tanah tumpahnya darah kita. Bagi yang sudah mahir dengan selok-belok di Malaysia, mereka mengembangkan minda mereka dengan membaca tentang hal-hal semasa dunia, terutamanya tentang Eropah, Timur Tengah serta benua Amerika. Memang sesuatu yang patut dibanggakan apabila kita sebagai bakal pemimpin negara pada masa hadapan cukup awas dengan perkembangan semasa di luar negara (terutamanya di negara United Kingdom ini). Namun begitu, sedar tidak sedar, kita telah terlupa akan salah satu fasa yang penting dalam perkembangan minda kita. Perkara yang aku maksudkan adalah tentang ASEAN iaitu Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara.
ASEAN ditubuhkan pada tahun 1967, di Bangkok oleh lima buah Negara; Indonesia, Negara Thai, Malaysia, Filipina, dan Singapura. 43 tahun selepas itu, ASEAN kini mempunyai 10 negara anggota, dua kali ganda daripada tahun ia diasaskan. Melalui prinsip fundamental ASEAN yang menegaskan bahawa ASEAN tidak akan campur tangan dalam pentadbiran setiap negara, terutamanya hal ehwal dalam negara, ASEAN memberi tumpuan dalam memakmurkan kawasan Asia Tenggara dari segi ekonomi, sosial, dan budaya melalui pencapaian kolektif. Mungkin belum lagi semaju Kesatuan Eropah yang sudah mampu memberi bantuan kewangan kepada negara-negara anggota; wakil negara-negara anggota ASEAN telah menandatangani sebuah piagam di Jakarta pada tahun 2008, dan tujuannya adalah untuk mewujudkan komuniti seperti Kesatuan Eropah.
Kewujudan pertubuhan-pertubuhan mengikut benua ini, atau mengikut rantau sebahagiaannya, sememangnya memerlukan sikap toleransi yang tinggi untuk mencapai kerjasama yang dapat memberi kelebihan kepada semua pihak. Jika diikutkan akal logik juga, kerjasama sesebuah rantau itu amat penting dan sepatutnya diwujudkan, kerana negara-negara anggota hanya dipisah oleh garisan sempadan negara. Tanpa garis-garis sempadan ini, kita merupakan satu negara yang lebih besar, lebih banyak kepelbagaian, lebih tinggi sumber alam, dan mempunyai kelebihan demografi yang tidak dapat dinafikan. Pada masa hadapan, Malaysia, atau Singapura, jika hanya bergantung pada kekuatan negara masing-masing, tidak akan mampu menangani masalah ekonomi yang amat besar tanpa bantuan pertubuhan serantau. Negara-negara di Eropah seperti Ireland dan Greece, walaupun teruk dirudum masalah ekonomi, diberi peluang untuk dibantu oleh Kesatuan Eropah, jika mereka bersetuju dengan syarat-syarat yang dikenakan. Memang tidak dapat dinafikan, Kesatuan Eropah menegaskan bahawa syarat-syaratnya dipatuhi, tetapi perkara dasar yang perlu kita lihat adalah bagaimana Ireland dan Greece mempunyai pilihan untuk diselamatkan.
ASEAN merupakan inisiatif yang bernas, namun tahap kesedaran oleh rakyat sendiri masih tidak memberansangkan. Rakyat Malaysia khususnya masih menganggap negara-negara jiran sebagai musuh seteru, dan negara-negara Eropah sebagai idola dan rakan antarabangsa. Bagi diri aku terutamanya, keinginan untuk belajar tentang adat-adat Eropah lebih membuak-buak daripada keinginan untuk belajar adat-adat negara Thai mahupun Indonesia. Aku lebih selesa dengan dapur yang kotor dibuat oleh rakan-rakan Eropah aku, daripada masuk ke rumah orang tempatan ketika aku berada di Bali dua tahun lepas. Aku yakin, bukan semua rakan senegara aku begini, tapi aku yakin bahawa kebanyakan daripada kita berkongsi sentimen ini.
Tetapi lebih menyedihkan, masalah ini bukan hanya terjadi kepada rakyat Malaysia sahaja, ia juga dikongsi penduduk-penduduk di negara jiran. Sebagai contoh, kemenangan manis skuad Harimau Malaya dalam Piala Suzuki sememangnya positif buat negara namun ia tidak membantu walau sedikit pun dalam mewujudkan sikap toleransi dalam rumpun ASEAN ini. Pelbagai kata kasar dikeluarkan oleh kedua-dua penyokong (Malaysia dan Indonesia) yang mungkin pada mulanya berbaur gurauan namun yang jelasnya bertukar menjadi serius. Sungguh jelas bahawa situasi ini menggambarkan perasaan benci yang dipendam oleh kedua-dua pihak, hasil daripada pertelagahan kedua-dua buah negara sejak Ganyang Malaysia lagi. Tak perlu rasanya aku ketengahkan lagi isu-isu seperti amah Indonesia, isu lumur tahi di bendera, pergelutan hak kawasan dan #MalaysiaCheatLaser.
@justinbieber: I still hate Malaysia… I still can’t forget when #Malaysiacheatlaser. Satu daripada beribu-ribu ungkapan Twitter yang lebih kurang maknanya, selepas perlawanan akhir peringkat pertama.
Masalah-masalah seperti ini timbul disebabkan konflik yang berlaku berpuluh-puluh tahun dahulu. Pengisytiharan Malaysia (ditentang oleh Filipina dan Indonesia), pengasingan Singapura daripada Malaysia, perang antara Vietnam dan Kemboja, Timor Leste dan macam-macam lagi. Setelah dijajah ketika dunia melalui proses pemodenan, keadaan tertekan dan ditindas meningkatkan lagi sentimen membenci oleh generasi penduduk setiap negara, namun, yang menghairankan adalah bahawa sentimen benci ini lebih ditujukan terhadap negara serantau, bukan negara barat.
Kurang pendedahan dari peringkat sekolah lagi juga mungkin menyebabkan komuniti kurang sedar tentang kepentingan ASEAN. Kita lebih sedar tentang hubungan diplomatik Malaysia dengan United Kingdom dan Amerika Syarikat berbanding dengan hubungan ekonomi antara Malaysia dan Thailand. Singapura dan Indonesia dianggap musuh ekonomi, sosial dan sukan; namun yang lebih menyedihkan, diherdik dan dicaci rakyat kita. Memang tidak dapat aku nafikan bahawa keadaan geografi yang begitu dekat menyebabkan persaingan antara negara serantau yang sengit, namun ini perlu dijadikan sebagai persaingan yang hebat, kerana kebenarannya, jika mahu ditelan atau tidak, ASEAN merupakan batu loncatan untuk semua negara serantau ini meningkat satu tingkat lagi dari segi ekonomi, sosial mahupun untuk memperkenalkan budaya masing-masing.
Tidak salah untuk melihat nun ke barat sebagai pedoman, dan tidak salah untuk melihat nun jauh ke timur sebagai idola (dan drama-drama mereka), namun pada zaman ini, mungkin kita perlu melihat lebih dekat lagi, ke negara-negara jiran dan serantau kita ini, sebagai inisiatif untuk maju ke hadapan.
Banyak lagi usaha, tenaga dan masa yang perlu setiap negara anggota curahkan untuk mengubah persepsi rakyat mereka terhadap kerjasama serantau. Lebih jujur, inisiatif pertama adalah untuk menyedarkan rakyat mereka bahawa ASEAN itu wujud, dan diteruskan dengan membendung sifat benci yang wujud dalam hati segelintir, jika bukan sebahagian besar, penduduk di rantau ASEAN ini. Penerapan lebih banyak unsur ASEAN dalam mata pelajaran Sejarah mahupun Pengetahuan Am perlu dilakukan oleh setiap negara sebagai petunjuk keinginan mereka untuk menjadikan ASEAN berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan Kesatuan Eropah, jika tidak pada nombor dan statistic, pada nilai toleransi dan kerjasama yang ditonjolkan penduduk di rumpun ini.
Izham Ismail di Facebook tentang perlawanan akhir piala AFF antara Malaysia dan Indonesia,”I don’t see it as a negative confrontation, just brotherly berebut bantal.”
Mungkin ia dilihat oleh sesetengah orang sebagai hanya lawak jenaka tetap cuba kita bayangkan erti yang tersirat yang cuba diketengahkan oleh Izham. ASEAN tidak akan berjaya selagi kita melihat Brazil dan bukannya Indonesia sebagai abang kita, jika kita anggap Hong Kong dan bukannya Singapura sebagai tanda kejayaan ekonomi dan mengagumi kecantikan Scarlett Johansson dan bukannya Ann Thongprasom (tolong
google). Aku merupakan contoh terbaik sebagai penduduk di rantau ASEAN yang melakukan ketiga-tiga kesilapan diatas. Globalisasi telah mengecewakan kita dengan jurang ekonomi yang semakin melebar antara yang kaya dengan yang miskin; sekarang salahkah kita memberi peluang kepada ASEAN sebagai landasan baru rantau ini untuk berjaya?
[1] Wikipedia -Rotterdam (2011)